Sunday, 4 November 2018

SINGGAH SAHUR SUKARELAWAN JIM - PERMUAFAKATAN PENGURUSAN TERTINGGI DAN WARGA KERJANYA

JOHOR BAHRU, 10 Jun 2018 – Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Haji Mustafar Haji Ali menyantuni warga kerja Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) sempena bulan Ramadan menerusi pelaksanaan Program Singgah Sahur awal pagi ini.
Program yang dijadikan acara tahunan penganjurannya itu bertujuan mengagihkan juadah ber­sahur kepada warga Jabatan Imigresen ter­utama yang bertugas di kawalan pintu masuk negara.
Mustafar berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada petugas yang bekerja pada se­belah malam iaitu dalam kalangan anggota dan pegawai Imigresen yang menjaga keamanan serta keselamatan di kawalan pintu masuk negara.
“Program ini berkonsepkan singgah dan bermesra dengan mereka yang menjalankan tanggungjawab bekerja pada sebelah malam. Pada masa sama, kita meraikan mereka dengan meng­agihkan juadah bersahur.
“Selain itu, warga kerja dan pengurusan tertinggi berpeluang mendekatkan diri sekaligus merapatkan hubungan silaturahim serta memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan sukarelawan JIM,” katanya.
Sukarelawan terdiri daripada ahli Kelab Kebajikan dan Sukan Imigresen Johor (KKSIJ), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Jabatan Imigresen Johor dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) tanpa menggunakan peruntukkan jabatan, sebaliknya sumbangan anggota JIM sebagai sebuah keluarga besar.
Program yang menjadi acara khas Sukarelawan JIM itu setiap kali tibanya bulan Ramadan dilihat sebagai usaha menzahirkan penghargaan kepada petugas yang menyumbang tenaga kepada negara.
Turut hadir Pengarah Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari, pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen Johor dan Presiden KPISM, Norhisham Murujan.
Pada majlis yang sama Ketua Pengarah Imigresen solat subuh berjemaah seterusnya menyampaikan perkongsian ilmu bersama warga kerja Jabatan Imigresen Johor.
Pesanan kepada semua warga JIM dan umat Islam agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan amanah mengikut ajaran Islam. Insya-Allah, agama, kedaulatan bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT.
Kekuatan keimanan pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng pertahanan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara sukar untuk dicapai.





No comments:

Post a Comment