Wednesday, 26 October 2016

KENYATAAN MEDIA 26.10.2016 : KPISM SAMBUT BAIK LANGKAH JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA BENDUNG ISU RASUAH

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) ingin merujuk kepada  kenyataan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Sri Hj Mustafar bin Hj Ali, menerusi laporan akhbar dan media elektronik semalam (25 Oktober 2016) berjudul “Jabatan Imigresen Malaysia perkukuh tiga strategi bendung rasuah di kalangan pegawai”.

Dalam laporan tersebut, Ketua Pengarah Imigresen menyatakan “Tiga strategi yang akan dilakukan adalah tindakan dari dalaman, tindakan pencegahan dan juga pendidikan yang berterusan mengenai elemen integriti dalam penguatkuasaan.

KPISM menyokong penuh kenyataan beliau ini. Kenyataan beliau ini adalah suatu yang tepat di mana Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) perlu mengambil tindakan dalaman bagi memastikan segala ruang dan peluang yang membenarkan perlakuan rasuah ditutup sepenuhnya. Pemantapan integriti pegawai melalui pendidikan adalah suatu tindakan yang signifikan memandangkan pegawai JIM perlu diberi pendidikan secara komprehensif di samping dengan penyediaan SOP yang mengikut arus perubahan zaman.

Selain daripada itu, faktor peningkatan taraf hidup pada masa kini turut menjadi faktor penyumbang (pull factor) kepada kecenderungan segelintir  pegawai JIM kepada perlakuan tidak berintegriti ini. Justeru itu, KPISM mohon agar kerajaan menyegerakan bayaran insentif yang telah diluluskan sejak April 2016 lagi. Walaupun Ketua Setiausaha Negara pernah meminta agar bayaran insentif ini disegerakan namun ianya dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab dimana sehingga kini tiada tanda-tanda bayaran ini akan dibuat.

KPISM ingin menzahirkan komitmen bagi menyokong usaha pencegahan rasuah di Jabatan Imigresen Malaysia termasuk dalang yang cuba menawarkan rasuah seperti agen, sindiket serta pelancong asing yang cuba masuk ke negara ini secara tidak teratur. KPISM sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dengan mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik, memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen yang menyokong pencegahan rasuah serta pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah di kalangan pegawai dan juga pihak yang menawarkan rasuah.

KPISM optimis langkah yang diambil oleh Ketua Pengarah Imigresen ini mampu mendatangkan impak yang positif kepada Jabatan Imigresen Malaysia yang selama kini tercalar dengan isu integriti serta persepsi negatif masyarakat. Kehadiran Dato’ Sri Hj Mustafar bin Hj Ali sebagai Ketua Pengarah Imigresen Malaysia telah membawa satu momentum positif dikalangan 14,000 pegawai Imigresen di seluruh negara kerana kepribadian beliau sendiri telah memberi satu cerminan kepada gerak kerja yang berintegriti dan profesional. Sejarah JIM bakal terukir apabila beliau yang memegang taklifan sebagai Ketua Pengarah JIM ini sentiasa mempertahankan prinsip dan memegang amanah serta mandat yang diberikan kepadanya walaupun terpaksa berhadapan dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi berbanding  negara. KPISM tidak mudah merelakan maruah JIM dicemar oleh kerakusan mereka yang berkepentingan peribadi ini tanpa melihat kepada kepentingan keselamatan negara.

KPISM sangat komited dalam membantu pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan pucuk kepimpinan tertinggi Imigresen bagi membanteras salah laku dan aktiviti yang tidak berintegriti. Namun begitu, bagi pegawai yang telah ditahan atas dakwaan mengsabotaj sistem ICT imigresen, KPISM  gesa mereka yang ditahan ini diberi peluang untuk didakwa menggunakan peruntukkan akta sedia ada dan bukannya menggunakan akta bersifat pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Jenayah  (POCA) supaya mereka ini juga diberi hak untuk dibicara dan diputuskan oleh Mahkamah. KPISM tidak akan berkompromi dan melindungi pegawai ini daripada dikenakan hukuman yang selayaknya. 
KPISM juga sentiasa berkerjasama dengan semua pihak dalam menjaga dan memastikan pegawai-pegawai imigresen sentiasa berintegriti dan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi imej dan nama baik Jabatan Imigresen Malaysia.



AJEET SINGH A/L GURBAX SINGH
Presiden, 
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM)

No comments:

Post a Comment