Thursday, 15 February 2018

Ucapan Presiden Sempena Tahun Baru Cina 2018

Salam Sejahtera dan Salam Perjuangan, 

Integriti Profesional Mesra 

Ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat Tionghua yang berkhidmat di Jabatan Imigresen Malaysia. Pada malam Tahun Baru Cina, semua ahli keluarga akan berkumpul beramai-ramai untuk jamuan makan besar bagi mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Atas kepercayaan inilah wujudnya satu kesatuan dengan berhimpunnya ahli keluarga dan rakan taulan saban tahun. 

KPISM sejak penubuhannya pada tahun 1956 menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Namun semangat, sokongan serta dokongan semua ahli KPISM, kita semua mengharunginya dan pada masa yang sama memberi perkhidmatan terbaik untuk Jabatan kita. Mudah-mudahan semangat ini diteruskan demi kesinambungan yang akan diwarisi pada masa akan datang.
Alhamdulilah, kita seharusnya bersyukur dengan kejayaan yang diperolehi oleh kepimpinan yang terdahulu dan tanggungjawab kita sebagai ahli adalah untuk mempertahankannya. Cabaran akan sentiasa wujud dari semasa ke semasa. Kita sebagai ahli haruslah bersedia. 

Kesepakatan dan semangat muafakat harus kekal utuh dalam menghadapi apa jua cabaran yang akan datang. Dengan semangat inilah kita tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak. Apa yang penting sikap tidak mudah putus asa dan perjuangan yang berterusan harus ada pada setiap ahli demi kebaikan kita bersama. 
Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Itu yang semestinya. Dalam mengharunginya kita semua perlu ada semangat keyakinan, ketabahan, muafakat dan akhirnya membuahkan kejayaan. 

Dalam masa yang sama, setiap ahli perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan senantiasa menjaga nama baik jabatan. Jangan sesekali memberi ruang dan peluang kepada petualang mencemarkan Jabatan yang kita sayangi.



Selamat Tahun Baru Cina

Norhisham bin Murujan
Presiden KPISM 
15 Februari 2018

No comments:

Post a Comment