Friday 11 March 2016

KPISM MENGGESA SUPAYA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA DIKECUALIKAN DARIPADA PERKARA 3.10 YANG TERMAKTUB DI DALAM GARIS PANDUAN LANGKAH-LANGKAH MENGOPTIMUMKAN PERBELANJAAN KERAJAAN YANG BERKUATKUASA PADA 1 MAC 2016


KENYATAAN MEDIA

KESATUAN PERKHIDMATAN IMIGRESEN SEMENANJUNG MALAYSIA (KPISM)
TARIKH: 11 MAC 2016

KPISM MENGGESA SUPAYA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA DIKECUALIKAN DARIPADA PERKARA 3.10 YANG TERMAKTUB DI DALAM GARIS PANDUAN LANGKAH-LANGKAH MENGOPTIMUMKAN PERBELANJAAN KERAJAAN YANG BERKUATKUASA PADA 1 MAC 2016

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang mewakili 12,685 orang anggota imigresen di seluruh negara memohon kepada Perbendaharaan Malaysia dan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri supaya mengecualikan Jabatan Imigresen Malaysia daripada Perkara 3.10 Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan Yang Berkuatkuasa Pada 1 Mac 2016.

KPISM melalui mesyuarat Exco yang diadakan memohon agar pembekalan pakaian seragam kepada semua pegawai Imigresen dikekalkan kepada jumlah sedia ada mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2014 di mana setiap pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia dibekalkan dengan tiga pasang pakaian seragam termasuk upah jahit. Setiap hari pegawai Imigresen melaksanakan operasi penguatkuasaan membanteras PATI, agen dan sindiket di seluruh negara. Jabatan Imigresen Malaysia juga merupakan agensi barisan hadapan keselamatan negara dan memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara berada di tahap terbaik. KPISM berpandangan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia pada hari ini tidak boleh dipandang sepi oleh semua pihak. Jabatan Imigresen Malaysia telah berjaya mengutip hasil kepada negara sebanyak RM3.7 billion pada tahun 2015 melalui pelbagai program dan perkhidmatan. Adalah tidak wajar Jabatan Imigresen Malaysia dilihat sebagai sebuah agensi yang yang tidak memainkan peranan penting kepada barisan keselamatan negara.

KPISM ingin melahirkan rasa kesal terhadap keputusan ini memandangkan pegawai-pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia telah berkorban dalam segala perkara apabila sejak tahun 2011 lagi setiap pegawai Imigresen termasuk yang bertugas di Penguatkuasa, Depot Tahanan Imigresen dan Pintu Sempadan Negara hanya dibenarkan membuat tuntutan elaun lebih masa tidak melebihi daripada 2/3 daripada gaji mereka. Hal ini termasuk pegawai-pegawai yang bertugas di UTC iaitu 7 hari seminggu dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Pada ketika ini pegawai imigresen tidak menerima sebarang insentif selain pembekalan 3 pasang pakaian seragam setiap tahun. Namum begitu kemudahan pembekalan ini juga turut ingin dikurangkan hanya kepada 2 pasang sahaja.
Selain daripada itu, keadaan logistik di Jabatan Imigresen Malaysia amat mendukacitakan di mana rata-ratanya telah usang dan tidak mencukupi. Saban tahun permohonan kepada penambahbaikan logistik telah dipohon namum ditolak atas alasan kekangan kewangan kerajaan. Keadaan ini seolah-olah Jabatan Imigresen Malaysia dilihat sebagai sebuah agensi yang kewujudannya ibarat melukut di tepian gantang berbanding agensi-agensi lain seperti Polis dan RELA yang diberi pelbagai kemudahan serta logistik yang hebat dan terkini pada setiap tahun.
Ekspektasi masyarakat terhadap Jabatan Imigresen Malaysia pada hari amat tinggi bersesuaian dengan fungsi dan peranan yang dimainkan. Namum begitu sekatan-sekatan seumpama ini merencatkan usaha pegawai serta mampu menjatuhkan semangat serta moral setiap pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia dalam melaksanakan tugas seharian.

Justeru itu, sekali lagi KPISM memohon kepada pihak Kerajaan supaya mengecualikan perkara 3.10 arahan garis panduan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan ini kepada Jabatan Imigresen Malaysia serta pertimbangkan semula keperluan logistik dan kemudahan lain di Jabatan Imigresen Malaysia.

KHAIRIL NIZA BIN KHAIRUDDIN
Presiden, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia
016-504 6606

# TAMAT #


















Kenyataan media ini disiarkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM). Sebarang pertanyaan sila hubungi En. Khairil Niza bin Khairuddin, Presiden di talian 016-504 6606

No comments:

Post a Comment