Tuesday 22 December 2015

KENYATAAN MEDIA KESATUAN PERKHIDMATAN IMIGRESEN SEMENANJUNG MALAYSIA (KPISM)


KENYATAAN MEDIA
KESATUAN PERKHIDMATAN IMIGRESEN SEMENANJUNG MALAYSIA (KPISM)
TARIKH: 21 DISEMBER 2015

SOKONGAN PADU KPISM DI ATAS KENYATAAN KETUA PENGARAH IMIGRESEN MALAYSIA DI MAJLIS SAMBUTAN HARI IMIGRESEN 2015

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) yang mewakili 12,685 orang pegawai imigresen di seluruh negara ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sri Mustafa bin Hj Ibrahim, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia yang menzahirkan suara serta harapan semua pegawai imigresen Malaysia di Sambutan Hari Imigresen 2015 pada 19 Disember 2015 yang lalu.  KPISM menyokong penuh intipati ucapan YBhg. Dato’ Sri Ketua Pengarah Imigresen Malaysia berkenaan permohonan Bayaran Insentif Penguatkuasa sebanyak RM200.00 kepada semua Pegawai Imigresen Malaysia dan penambahan logistik serta kenderaan di Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia dijalankan secara lebih efisien dan efektif. 

Selain daripada itu, KPISM menyambut baik saranan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri supaya setiap pegawai di Jabatan Imigresen Malaysia menggandakan lagi usaha bagi memastikan kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia di masa mendatang terutama melibatkan kutipan hasil kepada negara serta membanteras sindekit dan agen yang terlibat dengan aktiviti pemerdagangan manusia. KPISM akan berkerjasama sepenuhnya dengan Pengurusan Tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia bagi berkongsi idea dan pandangan untuk mencapai sasaran yang digagaskan ini.

Untuk makluman, KPISM telah mengemukakan kertas cadangan berkenaan Bayaran insentif Imigresen (BIIM) sebanyak RM200.00 kepada semua pegawai Imigresen dan Bayaran Insentif Khas (BIK) sebanyak RM100.00 bagi pegawai imigresen yang bertugas di Depot Tahanan Imigresen kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPA sejak dari tahun 2011 lagi. KPISM pohon agar perkara ini mendapat perhatian dan pertimbangan segera dari pihak kerajaan.

Kerjasama erat antara KPISM dan Pengurusan Tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia serta Kementerian Dalam Negeri akan terus diperkukuhkan. KPISM sentiasa menyambut baik saranan dan idea-idea semua pihak dalam memastikan imej dan kredibiliti Jabatan Imigresen Malaysia terus diperkasa. 

#TAMAT#
KHAIRIL NIZA BIN KHAIRUDDIN (Tel: 016-504 6606) 
PRESIDEN, KESATUAN PERKHIDMATAN IMIGRESEN SEMENANJUNG MALAYSIA


Kenyataan media ini disiarkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM). Sebarang pertanyaan sila hubungi Encik Ajeet Singh A/L Gurbax Singh Timbalan Presiden KPISM di talian : 013-723 6055.

No comments:

Post a Comment