Wednesday 15 June 2016

Pada 15.06.2016 bertempat JIM HQ Putrajaya telah berlangsung pembentangan cadangan penambahbaikan urusan temuduga gred KP17. Melalui cadangan penambahbaikan ini KPISM optimis supaya JIM mempunyai pegawai yang cemerlang dari segi kesihatan dan kompetensi. Bahagian Sumber Manusia, juga menyenaraikan dan mengulas secara panjang lebar 37 perkara yg memberi manfaat kepada pegawai pegawai JIM di semua peringkat. Hubungan dan kerjasama antara KPISM dan Bhg Sumber Manusia ini diharapkan berterusan pada masa akan datang supaya manfaatnya kelak dinikmati oleh generasi akan datang. Selepas pembentangan tersebut juga Mesyuarat Exco Bil 2/2016 turut diadakan.
Sekian untuk makluman.





 

Thursday 2 June 2016

KENYATAAN KPISM LANJUTAN DARIPADA TINDAKAN JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA BERHUBUNG ISU SABOTAJ SISTEM MYIMMS

Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) memohon supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengkaji semula kelemahan sistem MyIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen Malaysia. Sepanjang 15 tahun kebelakangan ini, sistem ICT JIM telah beberapa kali bertukar atas alasan penambahbaikan. Namun hakikatnya, pegawai Imigresen sebagai End-User kepada sistem ini terus dibebankan dengan isu kelemahan sistem dan urusniaga yang sering tergendala ketika urusan pemeriksaan imigresen dijalankan di pintu-pintu masuk negara. KPISM berpandangan siasatan menyeluruh harus dijalankan melibatkan permasalahan sistem dari segi aspek perolehan, pembekalan dan penyediaan perkhidmatan di mana penambahbaikan perlu dilakukan secara berkala. Lanjutan daripada hasil Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat bulan lalu, menyebut bahawa sistem MyIMMs yang dibangun bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas. Justeru, KPISM bersetuju dengan pandangan Cuepacs supaya satu siasatan dijalankan dengan segera yang merangkumi aspek forensik digital agar isu ini dapat dikekang diperingkat lebih awal. KPISM berpandangan adalah tidak wajar hanya pegawai Imigresen sahaja yang dipersalahkan dalam isu kegagalan dan kelemahan sistem MyIMMs ini kerana dari awal lagi sistem ini dikendalikan oleh vendor sebagai sebuah syarikat yang dilantik. Ekspektasi masyarakat terhadap Jabatan Imigresen Malaysia pada hari ini amat tinggi bersesuaian dengan fungsi dan peranan yang dimainkan. Oleh yang demikian satu penyelesaian menyeluruh dan komprehensif berkaitan sistem ICT perlu segera dilakukan. Sistem ICT yang dibangunkan dan dikendalikan oleh vendor perlu secara berfasa diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia supaya kebergantungan kepada vendor dapat dikurangkan. Perlu ada satu perancangan jangka masa panjang supaya kebergantungan kepada vendor dan perkhidmatan imigresen yang pada masa sekarang disediakan oleh pihak vendor dapat diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Imigresen Malaysia memandangkan ianya melibatkan isu keselamatan negara. Perkara ini menjadi perhatian utama KPISM yang sekian lama. KPISM mengingatkan semua pihak supaya mengutamakan integriti dalam setiap perkara. Selain itu, KPISM yang mewakili 14,000 orang pegawai dan anggota imigresen dari seluruh negara mengesa semua ahlinya untuk terus kuatkan semangat dan moral dalam menjalankan tugas demi negara tercinta. 

AJEET SINGH A/L GURBAX SINGH
Presiden,
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia
013-723 6055

Kenyataan media ini disiarkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM).